Ahad, 6 April 2014

CERPEN :~ KU RELAKAN JIWA

KOLEKSI CERPEN  SAHABAT MIZZ NURUL




SITI AISYAH


 KU RELAKAN JIWA


Deruan angin pantai menjamah lembut pipi Qila.  Tudungnya yang beralun lembut ditiup angin.  Berada di pantai ini mengingatkan dia akan kisah lama yang telah melukai hatinya. Mengurung jiwanya di sangkar rindu.  Menawan hatinya dilembah duka.  Sekian lama dia mengabdikan diri kepada kisah lama.  Titisan mutiara putih menghiasi pipinya.  Itulah yang kerap kali terjadi bila menyembahkan kakinya di pantai ini.

`Apakah khabar dia? Bahagia atau derita sepertiku? Menanggung rindu yang tidak pernah surut.  Menggantung harap pada masa yang tidak pernah berhenti berputar.  Mengolah kenangan  yang telah kusam dalam kotak ingtan tapi masih gah dalam papan kenangan.

``Qila…’’  lembut sapaan lelaki itu menerbitkan kasih yang tercipta.

``Fiq.’’ Seulas senyum manis di hadiahkan buat insan yang tersayang.

Di pantai Teluk Kemang inilah mereka memadu kasih.  Berikrar cinta setia.  Menggulung kenangan indah.  Mengungkap kata cinta, rindu.  

Tunak mata Fiq merenung sepasang mata milik Qila.  Mata yang menyejukkan hati.   Kerana pancaran sinar mata itulah hatinya bertaut kasih dengan Qila.

Qila malu.  Tertunduk memandang pasir.  Ditenung kekasih mengundang debaran yang maha hebat.  Naik berpasir matanya merenung pasir, dilontarkan pandangannya sejauh lautan yang luas terbentang.  Meneropong ke pulau yang nampak kecil dari dasar pantai.

``Qila…’’  Fiq memanggil lagi.

``Ya, Fiq.’’ Qila masih lagi memandang jauh ke pulau nun di sana.  Terbit dalam hatinya pujian akan kekuasaan Allah yang mampu menjadikan pulau di tengah lautan.  Yang mampu menjadikan lautan yang luasnya tiada berpenghujung.  Aliran air yang mampu searus, seiring ombak memukul pantai.  Pasang dan surut, hanya mampu dilakukan Allah.  Allah yang memilikki kuasa yang tidak terbatas.

``Qila… Fiq sayangkan Qila.’’ Itu bukanlah ungkapan sayang yang bukan pertama kali meniti di bibir Fiq.  Tapi entah kenapa Qila merasa tawar dengan ungkapan itu.  Seperti tiada rasa.  Tiada kemanisan dalam kata-kata buah hatinya itu. 

Qila mengalihkan pandangannya.  Lama… wajah mendung di hadapannya di tatap keliru.  Apa makna keredupan yang menumpang di wajah itu?  Apakah ada sesuatu yang terjadi? Kalau benar, pasti suatu yang buruk.  Arghh… kalut! Jangan kau minta daku jauh dari mu, wahai arjuna hatiku.  Qila berkata-kata dalam hatinya.  Namun mulutnya belum mampu menyusun bait ayat tanya yang sesuai.

Lama matanya menatap wajah itu.  Pandangannya langsung tidak berbalas.  Seolah Fiq cuba lari dari memandang matanya.  Apakah yang sedang merusuh di dalam hati kekasihnya itu?

``Fiq… berterus teranglah. Apa yang menganggu mu sayang?’’ makin lama Fiq berdiam makin tinggi debaran di dadanya.  Bagai menanti bom yang bakal meledak.

Fiq mengeluh berat.  Nafas yang mengalun bagaikan rengkungan duri yang menikam tekak.  Segalanya terasa pedih. Dadanya berat dengan tekanan yang hanya dia saja yang tahu.  Mampukah dia melepaskan cinta ini? Cinta yang telah dia baja dengan sepenuh kasihnya.  Cinta yang telah dia sirami dengan titisan rindu.  Qila… maafkan Fiq, sayang.  Rintihan yang meruntun kalbu itu hanya mampu bergema di ruang kotak hatinya.

``Qila…  Fiq mahu Qila tahu dan percaya biar apa pun yang terjadi, cinta Fiq hanya untuk Qila.  Kasih Fiq hanya untuk Nur Qila.’’  Tangan Qila masih setia dalam genggaman Fiq.  Entah bila masa tangan itu bersatu dengan tangan Fiq pun Qila tidak tahu.  Dalam fikirannya saat ini hanya merencanakan apa yang cuba disampaikan kekasih hati.

``Oi, Qila!’’

Panggilan Hani menyentap segala memoir yang terlayar di layar perak matanya.  Bagaikan baru semalam peristiwa itu berlaku.  Pertemuan terakhir yang membawa dia dan Fiq ke jalan hidup yang berasingan.  Hingga kini dia masih memegang janji lelaki itu.

``Kau ni kenapa? Kita orang ajak datang sini bukan nak suruh kau ulang sejarah lama, tapi suruh kau happy.’’  Tanpa memikirkan perasaan Qila, Hani menembak Qila.  Bukan dia tidak tahu kisah cinta Qila dengan Fiq.  Dari akar umbi dia tahu.

``Kau dah tahu sejarah aku tertanam kat sini, yang kau ajak aku datang sini juga buat apap? Kau sengaja nak mendera hati aku?’’ tukas Qila.  Geram dia bila Hani bercakap tanpa berlapik.  Bukan dia sengaja nak ingat hal yang mengingati sejarah yang menyakitkan itu.

Kehadirannya ke sini hanya menagih luka lama berdarah kembali.  Menyegarkan ingatan yang cuba diluputkannya.  Mencairkan kasih yang sudah hampir membeku. Lima tahun dia hidup dalam dunianya berteman janji Fiq.  Bersulam kenangan indah semalam.

``Kau masih ingatkan dia?’’  Hani melabuhkan punggung di sisi Qila.  Bajunya yang masih basah langsung tidak diendahkan.

``Dia segala-galanya bagi aku.  Dia cinta pertama aku.  Dialah juga luka dan penawar di hati ini.’’  Qila memegang dadanya.  Dahinya berkerut, seolah dapat merasa luka itu pedih disimbah titisan embun kasih.

``Qila… sampai bila kau nak mengharapkan dia?  Mungkin dia sudah lupakan janji dia pada kau. Lima tahun dia hilang menyepi.  Tanpa sebarang utusan pengganti dirinya.’’  Lirih suara Hani menyuarakan rasa hatinya.  Sebagai kawan dia tidak mahu Qila terus hanyut  dalam janji seorang lelaki.

Qila diam.  Dia tidak menafikan kebenaran kata-kata Hani.  Namun dia telah menutup segala ruang dalam hatinya untuk melupakan Fiq.  Yang ada hanyalah ruang ingatan yang di penuhi memori mereka bersama.  Tanpa mempedulika Hani yang masih setia menunggu jawab balas darinya, Qila mengatur kaki menyusuri pantai.

``Qila! Qila!’’  panggilan Hani berlalu di sapa angin lalu.

Qila melayari keindahan petang di Teluk Kemang.  Dia mendekati ombak yang setia memukul pantai. `Fiq… di manakah dirimu?  Qila masih di sini setia seperti pantai dan ombak.’  Kaki Qila terhenti tika matanya menangkap susuk tubuh lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya.  Dia terkaku.  Setiap gerak geri lelaki itu diperhatikannya.

Jantungnya berdegup laju saat mata mereka bertembung.  Dia perasan riak terkejut di wajah lelaki itu.  Tapi kenapa hatinya tidak merasa gembira dengan pertemuan ini? Sesaat berlalu tapi mereka tetap kaku. Kakinya bagaikan di gam.

``Sayang…’’  seorang gadis muda mendekati Fiq.

Qila lantas memalingkan mukanya.  Hatinya berdarah.  Mana mampu untuk dia melihat kegedikkan gadis itu.  Sedangkan Fiq…  hatinya menangis.  Jiwanya parah.  Jika tidak difikirkan orang ramai, di situ juga dia lepaskan tangis yang sudah lama dia tanggung.  Dengan lemah longlai dia tinggalkan persisiran pantai yang sekali lagi mencalarkan hatinya.  Kali ini bukan hanya calar tapi disimbah cuka pada calar itu.  Teramat pedih.

**************

Fiq termenung sendirian di bilik bacaannya.  Pertemuan yang tidak di sangka-sangka hari itu menganggu siang dan lena malamnya.  Wajah yang amat di rinduinya berada dekat namun dia tidak mampu menyentuhnya.  Dia terkesima. 

Hatinya ingin berlari mendakap tubuh itu, tapi kenyataanya amat pahit.  Gadis yang di pujanya itu telah di milikki. Janji yang diikat selama ini telah dimungkiri.  Qila mungkiri janji mereka.  Qila telah hancurkan hatinya.  Qila musnahkan impiannya.  Semuanya Qila!  Sejauh mana dia mencuba untuk membenci gadis itu, selaut kasih tidak bertebing untuk gadis bernama Qila.

``Qila… Fiq sayangkan Qila. Fiq nak Qila janji, Qila akan tunggu Fiq tidak kira selama mana pun pergi.’’

``Apa maksud Fiq?’’ Qila mula tidak keruan.

``Qila… Fiq terpaksa balik ke Brunei selama lima tahun mungkin lebih.  Perniagaan papa ada masalah.  Papa suruh Fiq balik sana.’’ Mata Fiq merenung lembut wajah Qila. Mengharapkan pengertian dari gadis itu.

``Kenapa lima tahun?’’ soal Qila lagi.  Dalam hatinya berkira-kira, mampukah dia atau Fiq menjaga cinta mereka?

``Sebab perniagaan keluarga Fiq bermasalah.  Papa kemungkinan akan diisytiharkan muflis.  Fiq kena ambil alih semua itu.  Papa… sekarang sudah tiada kudrat.’’  Lemah semangat Fiq mengingatkan papanya yang diserang sakit jantung, gara-gara tertekan dengan masalah syarikat.

``Study Fiq macam mana?’’

``Fiq… terpaksa tangguhkan dulu.’’ Fiq diam sejenak.  Menyusun kata untuk ubat luka di hati gadis itu.Fiq merenung wajah lembut Qila, dengan penuh harapan.  Dalam hati bergelodak.

Ketukkan di pintu melemparkan Fiq ke dunia nyata.  Nyata tadi dia tenggelam dalam dunia khayalan kisah lalu.

``Mama.’’  Puan Hasmah melangkah masuk seraya membuka pintu bilik anak bujangnya itu.

``Ada apa mama?’’  buku yang terbuka ditutup rapat.  Gambar Qila yang berada di halaman itu, dibiarkan begitu.

``Mila call tanya kamu ke mana? Banyak kali dia telefon kamu tak angkat.’’  Puan Hasmah memandang kosong.  Dia perasan perubahan pada diri anaknya.  Malas dia nak bertanya.  Sudah besar.  Pandailah nanti dia cari orang tua.  Telah hati Puan Hasmah.

Fiq mengeluh.  Mila! Dia rimas dengan Mila.  Asyik berkepit saja dengan dia.  Dia terhutang budi dengan Mila kerana menyampaikan kecurangan Qila terhadap cintanya.  Mila berlajar di UITM, Shah Alam sekali dengannya.  Melalui Mila dia banyak mendengar khabar Qila.  Namun dia tidak mungkin menerima Mila hanya kerana Qila curang padanya.

``Fiq,’’ panggil Puan Hasmah.

``Ya, ma.  Biarlah Mila tu.  Saya dah penat nak layan karenah dia.  Asyik nak berkepit saja.  Saya pun perlukan privasi juga.  Perlukan ruang untuk diri saya sendiri.  Untuk hati saya,’’  luah Fiq.

``Hurm… ikut suka kamulah.’’  Puan Hasmah malas mengulas banyak-banyak.  Sudahnya dia juga yang sakit hati.  Sudah di desak berkali-kali Fiq untuk terima Mila, tapi jawapannya tetap sama.  Dia tiada hati dengan Mila.  Langsung tiada tarikan magnet.

Puan Hasmah keluar dari bilik Fiq.  Langkahnya terhenti, dia baru teringatkan sesuatu…

``Kamu kata nak pergi Kuala Lumpur, jadi tak?’’ tanya Puan Hasmah.

``Ya Allah! Nasib baik mama tanya.  Saya dah lupa.  Jadilah mama, insyaallah esok.  Saya dah buat temu janji dengan nak jumpa Dato’ Halim,’’ Fiq tersenyum.  Terlalu memikirkan akan hal Qila sampai lupa temu janji yang telah di rancang.

**************

Qila sedang sibuk dengan persiapan untuk perjumpaan Dato’ Halim dengan rakan kongsinya dari Brunei hampir siap.  Bila nama Negeri Brunei meniti di bibirnya, automatik otaknya hanya memikirkan Fiq.
 
``Semuanya dah selesai Qila?’’  Dato’  Halim duduk di kerusi hadapan meja panjang mesyuarat itu.

``Dah, Dato’.’’

Qila menyusun fail mengikut bilangan kerusi yang ada.  Ralit Qila melakukan kerjanya hingga tidak perasan yang dirinya sedang diperhatikan.

``Ooo…  Encik Fiq,  silakan masuk.  Awal awak sampai?’’  Dato’ Halim bersalaman dengan Fiq.
Qila jadi canggung saat sepotong nama itu menjengah halwa telinganya.  Dia masih tundukkan mukanya.  Tidak tahu harus bagaimana untuk bereaksi.

``Qila!’’ panggil Dato’ Halim.

Mahu tidak mahu terpaksalah Qila mendekat setelah namanya di seru Dato’ Halim.

``Ni kenalkan akauntan syarikat saya, Nur Qila.  Dia tolong saya  prepare untuk mesyuarat hari ni.  Setiausaha saya cuti.’’  Dato’  Halim memperkenalkan Qila serba ringkas kepada rakan kongsinya.

``Ooo…Cik Qila or… Puan Qila?’’  Dek kerana di panah rasa ingin tahu soalan itu juga yang ditanya Fiq.

``Encik Fiq,  Qila ni masih anak dara lagi.  So…  Miss Qila yer.’’  Dato’  Halim menjawab bagi pihak Qila.  Sempat lagi dia kenyitkan mata nakal kepada Fiq.  Kedua-dua gelak serentak.

Muka Qila mula membahang.  Malu apabila dirinya diperkatakan.  Hatta itu satu pujian.  Tapi Qila hairan, kenapa Fiq bertanyakan status dirinya? Tidakkah lelaki itu tahu akan hatinya yang hanya dahagakan cinta lelaki itu? Atau apakah itu satu sindiran?

Hanya keluhan demi keluhan terhambur di dadanya.  Sepanjang berlangsung mesyuarat itu, Fiq tidak tenang.  Sekilas matanya melirik ke wajah lembut Qila.  Wajah kerinduannya.  Kali ini dia nekad untuk bersemuka dengan Qila.  Kekeliruan di dalam benaknya perlukan perjelasan Qila.  Menuntut janji lima tahun dahulu.

Akhirnya mesyuarat yang hampir 2 jam itu berakhir juga.  Qila menarik nafas lega.  Sukar untuk dia tafsirkan renungan Fiq.  Itu yang merusuh jiwanya.  Apakah itu renungan rindu atau kebencian semata-mata?

Qila nanar.  Pessanan yang di sampaikan Dato’ Halim mengejutkannya.  Dia gembira tapi dalam masa yang sama hatinya ragu-ragu hendak terima ajakkan Fiq itu.  Lalu dia mencapai telefonnya, mendail nombor Hani.

``Hani…’’  Qila terus memanggil nama sahabatnya itu sebaik saja panggilannya bersambut.

``Oi… kalau ya pun bagilah salam dulu.  Jangan main terjah aje,’’  Bebel Hani.

``Assalamualaikum.  Hani, aku ada masalah besar ni?’’ Qila terus ke pokok asal dia telefon Hani.
``Waalaikummusalam. Masalah apa pulak ni?’’  dahi Hani berkerut.  Qila jarang mengadu ada masalah melainkan melibatkan buah hatinya.

``Fiq,’’  Qila sebak.  Nama itu sudah lama tidak meniti di bibirnya.  Nama itu hanya bermain di getar hatinya.

``Kenapa dengan Fiq?’’  Hani jadi teruja. Dia sudah agak mesti masalah Qila berkaitan dengan Fiq.

``Dia… dia nak jumpa aku malam ni?’’  air mata Qila mengalir juga. Untuk apa, dia juga tidak tahu. Pelbagai rasa menjadi tamu hatinya tika ini.

``Apa yang aku harus lakukan?’’ soal Qila lagi.  Nyata dia masih bingung.

``Apa lagi, terima aje lah.  Kau kan dah lama tunggu dia.  Pergilah… selesaikan apa yang tergantung antara kamu,’’ nasihat Hani.

``Aku takut.  Lima tahun kami tidak berjumpa.  Bukan saja tidak berjumpa malah tidak berhubung.  Apa yang aku nak cakapkan dengan dia?  Macam mana kalau dia jumpa untuk bagitahu aku yang dia sudah bina hidup baru tanpa aku?’’  Qila makin tidak keruan.  Jika itulah yang bakal dikatakan Fiq, dia sanggup telinganya pekak.

``Apa saja yang akan dia katakan, kau kena terima.  Sampai bila kau nak gantung hati kau? Qila… aku letak dulu ada kerja.’’  Tergesa-gesa Hani mematikan talian.  Tetamu yang berada di hadapannya kini…

*************

Pertemuan dengan Hani membungakan kembali cinta yang hampir layu. Cerita yang di sampaikan Hani jauh berbeza dengan cerita versi Mila.  Bodohnya dia kerana percayakan racun yang ditabur Mila hingga mematikan kasih Qila. Syukur kepada Allah kerna mengembalikan jodohnya.  Rasa kasih makin menebal kerana kesetiaan gadis itu menantinya.  Dalam luka yang dalam Qila masih mampu bersabar meniti batas rindu tanpa khabar darinya.  Besar sungguh budi kasih Qila.

``Maafkan Fiq, Qila.  Fiq silap kerana mencurigai cintamu.’’   Rintih Fiq dalam sendu.

Dia merencanakan sesuatu untuk malam yang indah ini.  Malam ini penentu segalanya.  Akan dia jadikan Qila suri hidupnya.  Tanpa satu alasan, Qila hanya untuk dia!

Terasa lambat masa berlalu.  Seolah masa mempermainkan perasaannya.

Suasana di hotel Grand Blue Wave tenang. Qila terus menuju ke meja yang tertulis namanya.  Malu pula… siap tulis nama lagi.  Seorang wanita datang mendekatinya bersama senyuman manis.

``Silakan Cik Qila.  Sekejap lagi Encik Fiq akan turun.’’  Ternganga mulut Qila mendengar tutur kata wanita itu.  Ooo… kiranya ini sudah ditempah untuk makan malam mereka.  Anak orang kayalah katakan.  Patutlah tak ramai pengunjung yang menikmati makan malam di hotel ini.

Berhadapan dengannya piano yang indah di hiasai lampu.  Qila teringatkan Fiq yang selalu mendendangkan lagu cinta kepadanya. 

Lambat pula mamat ni.  Qila mengerling jam di pergelangan tangannya.  Sudah hampir jam 9 malam.  Dia mula cuak.

Sedang dia berkira-kira mahu bangun, petikan dari piano mematikan niatnya.  Alunan merdu piano menarik minatnya untuk menanti. Dalam gemersik piano di warnai suara yang amat dikenalinya.  Dan melodi itu juga cukup rapat dengannya.  Qila menghayati tiap bait indah itu dengan asyik.

Ku sangka hidupku selamanya kelam
Terbelenggu dalam ikatan tanpa manisnya cinta
Memaksa diriku menapaki jalan
Arah yang tak pernah ku mahu dalam hidupku
Kini kau pun hadir memberi cahaya
Membangunkan ku dari suramnya mimpi ngeri
Menuntun hatiku kepalung asmara
Seakan ku hidup kembali dari matiku
Engkaulah cinta yang selama ini aku cari
Ku relakan jiwa untuk menjadi
Penghuni sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi
Yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkan setiap sepi hatiku
*hati bukan untuk di milikki tapi hati untuk dicintai dan mencintai
  Kurelakan jiwaku padamu
Seandainya waktu tak pernah
Pertemukan aku dengan dirimu
Akan ku biarkan mati hatiku selamanya
Hingga kau datang membangunkan aku.

Air mata Qila menitis laju sehabisnya bait indah itu di akhiri Fiq.  Suara merdu Fiq meruntun jiwanya.
Fiq mampir ke arah Qila.  Air mata di seka dari jatuh.  ``Maafkan Fiq, Qila.  Fiq silap dalam menilai harga kesetiaan mu.  Berilah peluang untuk Fiq tebus masa yang berlalu. Melakar warna indah di masa depan. Memekarkan jaluran hidup kita berdua dengan tiupan angin Teluk Kemang.’’  Fiq tersenyum di hujung katanya.

Qila sebak. Terharu.  Dia hanya mengangguk.   Lidahnya kelu untuk menyuarakan kata indah.  Mana mampu dia menolak cinta yang dikunci selama ini di hujung hatinya.

Fiq tersenyum bahagia.  Malam ini akan jadi malam yang paling panjang buat mereka. Sudah pasti juga malam yang paling indah. Burung yang hampir terbang pergi kerana kesilapan penangkapnya yang mudah terpedaya akan kicauan burung lain.  Namun… andai sudah termaktub sangkar indah itu miliknya, maka sejauh mana ia terbang, ke sini juga kembalinya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan